Islam is Universal, Islam for all!!!

"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agamaKu, nescaya Aku akan menolongmu serta meneguhkan kedudukanmu." Surah Muhammad:7

Wednesday, July 4, 2012

Wanita & Kerjaya


Pilihlah Pandangan Yang Mudah

Para ulama Islam sejak dahulu sehingga sekarang mempunyai banyak pandangan terhadap isu-isu lelaki dan perempuan. Kita pula harus memilih. Penulis lebih tenang memilih pendapat yang moderat, sebagaimana orientasi syariat Islam yang menganjurkan umatnya mengambil yang mudah, bukan yang susah.
Firman Allah SWT,
“Allah mengkehendaki kemudahan bagimu dan Dia tidak mengkehendaki kesulitan bagimu.” (Al-Baqarah: 185).

Allah juga memujuk rasa-rasa hati kita dengan kata-Nya,
“Dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.” (Al-Haj: 78).

Ada pendapat yang membincangkan tentang keterlibatan wanita dalam aktiviti kemasyarakatan.
“Tempat wanita di rumah. Kami ada dalil al-Quran. Wilayah wanita hanyalah untuk domestik kekeluargaan sahaja. Wanita jangan muncul di media, TV dan radio kerana ia samalah dengan wanita berpeleseran di mana-mana,” lontar satu pendapat.

Pendapat ini membuatkan remaja-remaja wanita dan anak-anak gadis di IPT keliru tentang masa depannya. Perlukah kami belajar sehabis baik sedangkan kami hanya perlu menggunakan ilmu rumah tangga sahaja untuk masa depan kami? Perlukah kami menyambung pelajaran hingga ke peringkat tertinggi?

Mungkin pendapat kedua ini ada jawapannya.
“Wanita sejak zaman Rasul dibolehkan keluar dari rumahnya selama ada keperluan yang makruf dan aman dari fitnah. Kenapa kita bersangka buruk wanita yang muncul dalam media itu sebagai sedang berpeleseran? Padahal kita boleh bersangka baik bahawa dia sedang menunaikan tuntutan amar makruf dan nahi mungkar. Dakwah itu luas cara dan medannya, dengan perbuatan, kata-kata, lisan atau tulisan, bahkan dengan gambar, video dan media juga,” lontar pendapat yang lain.

Saidina Umar berpesan, “Jangan kamu sangka buruk terhadap kalimat orang Muslim, padahal engkau dapat membawanya kepada makna yang lebih baik lagi.”

Jaafar bin Muhammad, “Jika sampai kepadamu sesuatu yang engkau ingkari tentang saudaramu, maka carilah satu uzur baginya, sampai tujuh puluh uzur. Jika tidak, katakan “Barangkali dia punya uzur yang tidak aku ketahui.”

Kerjaya dan Kepimpinan Wanita

“Wanita jangan berkerjaya. Wanita jangan menjawat jawatan penting dalam kepimpinan sesuatu organisasi. Wanita hanya perlu jaga anak dan suami, cukuplah. 

Dia sudah ada tiket ke syurga,” lontar satu pendapat.

“Islam tidak menyekat secara mutlak kepimpinan wanita. Siapa cerdik, dialah berhak memimpin, tak kira lelaki atau perempuan. Cuma, jawatan tertinggi dalam negara diberi pada lelaki. Begitu juga jawatan tertinggi dalam sesebuah keluarga, dipikul oleh lelaki. Wanita merupakan separuh daripada anggota masyarakat. Sudah tentu masyarakat sangat perlukan tenaga dan sumbangannya dalam sesuatu kerjaya, asalkan wanita itu tahu batas dan adab,” lontar pendapat yang lain.

Nabi memberi petunjuk, “Sebaik-baik urusan agamamu ialah yang paling mudah.” (HR. Thabrani).

Aisyah r.ha memberitahu kita, “Tidaklah Rasulullah SAW dihadapkan kepada pilihan antara dua hal, kecuali baginda memilih yang lebih mudah, asalkan bukan dosa.” (HR Bukhari Muslim).

Pendapat yang kedua ini bagi penulis lebih releven dengan keperluan pergerakan dakwah kontemporari kerana berubahnya zaman dan kondisi. Ia menuntut penyertaan wanita muslimah dalam pelbagai lapangan yang sesuai dengan fitrahnya.  Peranannya tidak hanya terbatas dalam domestik keluarga bahkan jika dia ada kepakaran dia boleh terjun dalam aktiviti social kemasyarakatan, ekonomi, politik dan pemerintahan, amar makruf dan nahi mungkar. Bukan untuk menyaingi lelaki tetapi memenuhi keperluan masyarakat.

Kesimpulan

Cantiknya Allah mengadun kehidupan ini dengan ramuan yang pelbagai.  Ada persamaan. Ada perbezaan. Ada yang disepakati. Ada yang dibenarkan berbeza. Siapa yang lebih berbaik sangka kepada Allah dan orang lain, dialah yang akan lebih bahagia. Insya-Allah.

sumber: Fatimah Syarha