Islam is Universal, Islam for all!!!

"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agamaKu, nescaya Aku akan menolongmu serta meneguhkan kedudukanmu." Surah Muhammad:7

Monday, April 29, 2013

Dean List menuju Deen List


Erti Kejayaan bagi Kamu???
Kak Sarah: “Akak mau tanya kamu semua… Selain cita-cita, apa impian yang paling besar hendak kamu capai dalam hidup yang sementara di dunia ni?” Soalan yang sering aku lontarkan kepada adik-adik usrah baharu ketika sesi taaruf, selain ingin memecahkan tembok kekekokkan bersama adik-adik usrah tersebut.

Adik-adik usrah:

“Saya ingin berjaya dalam hidup dan membalas budi kedua ibu bapa saya”
“Saya mahu jadi anak solehah yang dapat mendoakan ibu bapa saya dan seorang yang berjaya di dunia, Kak doakan saya ya..”
“Saya ingin menjadi seorang doktor yang berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat”
Ada yang menjawab dengan penuh semangat, ada juga yang menjawab dengan perasaan yang kurang yakin. Namun, jawapan yang mereka berikan hampir sama semuanya. Berjaya dalam hidup!

Antara persamaan seorang manusia dengan manusia yang lain ialah mengimpikan sebuah kejayaan dalam hidup masing-masing. Bagi mereka yang mempunyai akal fikiran yang waras, sudah pasti menginginkan kejayaan dalam hidupnya. Namun, beza antara mereka semua ini ialah bagaimana mereka mentafsir atau meng’erti’kan sesuatu kejayaan kepada diri sendiri.

Peng’erti’an yang berbeza inilah, takrif 'kejayaan' dalam kehidupan kita adalah sangat subjektif. Kejayaan aku, mungkin bukan kejayaan bagi engkau, dan kejayaan engkau mungkin bukan kejayaan bagi aku.

Menggapai Dean List
Bermula jejaknya kaki di alam universiti, jiwa-jiwa penuntut asasi, ijazah mahupun master sudah memacakkan impian mereka supaya berjaya tersenarai dalam Dean list. Betul tidak? Dean list atau cemerlang adalah suatu kejayaan dalam hidup mereka. Aku juga tidak terkecuali di antara mereka yang punya impian setinggi itu. Tambah mengembirakan apabila berada di antara ratusan nama mahasiswa –mahasiswa yang lain, nama kita berada di antara kedudukan yang tertinggi. Kepuasan yang tidak terhingga sebagai seorang pelajar cukup terasa.


Lantas, aku selalu berpesan kepada diri sendiri sebagai penuntut ijazah:

“Wahai Allah, aku ingin berjaya dalam akademikku. Wahai Allah, bantulah aku dan berikanlah aku kejayaan demi kejayaan di dunia dan di akhiratMu.”
Ya, keinginan yang membuak-buak untuk mencapai kejayaan itulah yang mendorong aku, dia dan mereka memberikan sepenuh perhatian di dalam dewan kuliah, bersengkang mata ditengah malam menyiapkan assignment dan ulangkaji, hadir tutorial class, naik turun tangga berjumpa dengan lecturer bertanyakan soalan yang sukar difahami. Sehinggakan kadang-kadang waktu makan sekalipun terabai gara-gara terlalu sibuk dengan buku. MasyaAllah!!!

Deen List :
Di manakah letaknya Allah dihati kita?
Namun, disebabkan kesibukan menggapai dean list, ke mana hilangnya fokus di dalam solat, tatkala tumpuan yang penuh boleh saja diberikan di dalam dewan kuliah? Mengapa diri begitu lemah untuk sujud menghadap Allah, sedangkan cukup bertenaga hadir ke kuliah, cukup kuat untuk berjumpa lecturer bertanyakan soalan yang kurang difahami? Kita sanggup korbankan masa tidur dan makan, tetapi mengapa masa untuk bersama dengan Allah turut sama terkorban?

Mengapa?

Kerana hubungan antara kita dengan DIA terlalu rapuh. Kita asyik pesan pada diri,”Aku nak berjaya, aku ingin cemerlang” tapi kita lupa akan DIA yang memberi kejayaan.
Mulai saat ini, sentiasa pesan pada diri, bukan “Aku nak berjaya”, tapi: “Letak Allah sebagai Pemberi Kejayaan yang utama dihati, pasti Allah beri kejayaan yang tidak disangka-sangka kepada kita”.

Menuju Deen List
Dengan hadirnya Allah dalam setiap perbuatan dan perlakuan, dari situlah akan wujudnya kekuatan. Sama ada kekuatan untuk mencari ilmu, memantapkan ilmu pengetahuan, mahupun memantapkan keimanan kepada Tuhan. Ingat wahai diri, kita berjaya kerana Allah.

Wahai Allah, kurniakan kami kejayaan di dunia dan kejayaan di akhiratMu. Ayuh! Manifestasikan doa ini seiring dengan amalan, bukan sekadar doa hafalan spontan tau.

رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَة ً وَفِي الأخِرَةِ حَسَنَة ًوَقِنَا عَذَابَ النَّار
Ya Allah, kurniakan kami kejayaan di dunia dan jua kejayaan di hari akhirat.Dan jauhkanlah kami dari azab api neraka.”



Friday, April 5, 2013

BUNGA-BUNGA CINTA DALAM HIDUPKU...

Merindui Sang Pelangi
Menikmati keheningan malam disaat mereka sedang lena diolek mimpi indah dalam kepekatan malam.. Mengimbau kenangan lalu yang membawa seribu makna dalam hidupku, yang menjadikan siapa diriku pada hari ini. Kenangan lalu yang mengajarku mengenal erti cinta yang hakiki, kenangan lalu yang membawaku ke alam yang penuh dengan impian indah sang pencinta dakwah, impian indah pejuang syahid, impian besar sang penuntut ijazah…

Sang pelangi itulah ibu ayah tercinta, guru/murabbi, sahabat-sahabat seperjuangan akidahku… Dikala diri merasa lemah, merekalah yang memimpinku untuk terus bangkit berjaya, tika tersungkur merekalah yang memapahku kembali bangun dan terus melangkah, tika leka dek keindahan lautan duniawi merekalah yang menyedarkanku .

Sejuta hamparan cinta mereka
Memandang wajahmu, bertambah kecintaanku terhadap penciptaku. Terima kasih buat ibu tercinta dan ayah tersayang yang telah membesarkanku dan mendidikku menjadi anak yang solehah, insan yang teguh pendirian, dan insan yang berjaya pada hari ini. Ketegasanmu dalam mendidikku menjadikan aku tahu menilai baik dan buruk sesuatu, menjadikanku matang dalam berfikir serta menjadikan aku anak yang sentiasa sayang dan rindu padamu.

Duhai bayu malam, sampaikan salam rinduku buat ibu dan ayah tercinta yang sedang lena tidur dek letih bekerja sehari semalam. Semoga perjalananku dalam menuntut ilmu sentiasa dalam keredaannya. Ku pohon doamu wahai ibu tercinta agar menjadi penguatku meneruskan cita-citaku.

Buat guru/murabbiku, jasamu dalam mendidik jiwaku menjadi seorang pejuang yang kental jiwanya untuk tampil dikhalayak ramai membawa misi Islam membuat aku lebih yakin dan berani. Pesanan yang sering terngiang-ngiang ditelingaku.

 “Kita ini aset ibu bapa ke syurga atau neraka. Bekalan ini bukan hanya untuk diri kita, tapi untuk ibu bapa kita juga.”

Bila sebut perkataan ‘sahabat’, titisan air mata kerinduan kepada mereka tidak akan tertahan. Mereka mewarnai zaman remajaku dengan warna yang cukup indah. Belajar dan bekerja bersama, Bersama mereka kutempuhi saat perit dalam menghadapi cercaan dikala risalah rasulullah disampaikan, menangis bersama, saat indah dikongsi bersama. Dalam bergerak kerja bersama-sama, kemanisan iman kutemui.

Padanlah dengan pepatah BERTEMU TIDAK JEMU, BERPISAH TIDAK GELISAH.

Thank you ya Rabbi… Engkau telah mengurniakan sang pelangi indah yang menghiasi hidupku. Maka ya Allah, kupohon Engkau kekalkanlah mereka berada disampingku agar menjadi penguatku dalam menjejak keredaanMu di alam persinggahan ini.

Hadapi realiti dengan penuh semangat!
Setelah hampir setahun berada di alam kampus, aku belajar dua nilai yang cukup besar untuk kugenggam dari seorang ustaz. Nilai ilmu dan nilai mahasiswa. Akademik nombor satu, tapi dakwah bukan nombor dua. Sebagai seorang yang memegang status mahasiswa perlu sedar kepentingan ilmu, memang tidak dinafikan kerja dakwah itu penting bukan setakat akademik tapi seseorang yang bergelar pendakwah juga perlu ada ilmu yang cukup untuk disampaikan kepada mad’u. tidak kiralah ilmu duniawi mahupun ukhrawi.

Hidup ini bersifat realiti bukan fantasi, memang jika menurut Islam, ‘kita tidak perlu pandang siapa yang bercakap tapi pandanglah pada apa yang diperkatakan.’ Namun di alam kampus, orang akan melihat siapa orang yang menyampaikan kata-kata, barulah mereka akan ikut. Siapa kata pendakwah hanya tahu berkata-kata mengenai bab agama, mereka juga perlu tahu hal dunia. Kalau bukan kita, siapa lagi???

Tookk..tookk.tookkk… “Spotcheck!!! Felo datang. Buka pintu almari atas dan bawah.”
Lamunanku terganggu dek suara pengawas asrama yang menyerbu masuk ke bilik. Aku yang duduk ditepi tingkap bingkas bangun dari tempat duduk.

*****************************************************
Main tetap main.. Assignment tetap perlu disiapkan. :-)



Wednesday, July 4, 2012

Wanita & Kerjaya


Pilihlah Pandangan Yang Mudah

Para ulama Islam sejak dahulu sehingga sekarang mempunyai banyak pandangan terhadap isu-isu lelaki dan perempuan. Kita pula harus memilih. Penulis lebih tenang memilih pendapat yang moderat, sebagaimana orientasi syariat Islam yang menganjurkan umatnya mengambil yang mudah, bukan yang susah.
Firman Allah SWT,
“Allah mengkehendaki kemudahan bagimu dan Dia tidak mengkehendaki kesulitan bagimu.” (Al-Baqarah: 185).

Allah juga memujuk rasa-rasa hati kita dengan kata-Nya,
“Dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.” (Al-Haj: 78).

Ada pendapat yang membincangkan tentang keterlibatan wanita dalam aktiviti kemasyarakatan.
“Tempat wanita di rumah. Kami ada dalil al-Quran. Wilayah wanita hanyalah untuk domestik kekeluargaan sahaja. Wanita jangan muncul di media, TV dan radio kerana ia samalah dengan wanita berpeleseran di mana-mana,” lontar satu pendapat.

Pendapat ini membuatkan remaja-remaja wanita dan anak-anak gadis di IPT keliru tentang masa depannya. Perlukah kami belajar sehabis baik sedangkan kami hanya perlu menggunakan ilmu rumah tangga sahaja untuk masa depan kami? Perlukah kami menyambung pelajaran hingga ke peringkat tertinggi?

Mungkin pendapat kedua ini ada jawapannya.
“Wanita sejak zaman Rasul dibolehkan keluar dari rumahnya selama ada keperluan yang makruf dan aman dari fitnah. Kenapa kita bersangka buruk wanita yang muncul dalam media itu sebagai sedang berpeleseran? Padahal kita boleh bersangka baik bahawa dia sedang menunaikan tuntutan amar makruf dan nahi mungkar. Dakwah itu luas cara dan medannya, dengan perbuatan, kata-kata, lisan atau tulisan, bahkan dengan gambar, video dan media juga,” lontar pendapat yang lain.

Saidina Umar berpesan, “Jangan kamu sangka buruk terhadap kalimat orang Muslim, padahal engkau dapat membawanya kepada makna yang lebih baik lagi.”

Jaafar bin Muhammad, “Jika sampai kepadamu sesuatu yang engkau ingkari tentang saudaramu, maka carilah satu uzur baginya, sampai tujuh puluh uzur. Jika tidak, katakan “Barangkali dia punya uzur yang tidak aku ketahui.”

Kerjaya dan Kepimpinan Wanita

“Wanita jangan berkerjaya. Wanita jangan menjawat jawatan penting dalam kepimpinan sesuatu organisasi. Wanita hanya perlu jaga anak dan suami, cukuplah. 

Dia sudah ada tiket ke syurga,” lontar satu pendapat.

“Islam tidak menyekat secara mutlak kepimpinan wanita. Siapa cerdik, dialah berhak memimpin, tak kira lelaki atau perempuan. Cuma, jawatan tertinggi dalam negara diberi pada lelaki. Begitu juga jawatan tertinggi dalam sesebuah keluarga, dipikul oleh lelaki. Wanita merupakan separuh daripada anggota masyarakat. Sudah tentu masyarakat sangat perlukan tenaga dan sumbangannya dalam sesuatu kerjaya, asalkan wanita itu tahu batas dan adab,” lontar pendapat yang lain.

Nabi memberi petunjuk, “Sebaik-baik urusan agamamu ialah yang paling mudah.” (HR. Thabrani).

Aisyah r.ha memberitahu kita, “Tidaklah Rasulullah SAW dihadapkan kepada pilihan antara dua hal, kecuali baginda memilih yang lebih mudah, asalkan bukan dosa.” (HR Bukhari Muslim).

Pendapat yang kedua ini bagi penulis lebih releven dengan keperluan pergerakan dakwah kontemporari kerana berubahnya zaman dan kondisi. Ia menuntut penyertaan wanita muslimah dalam pelbagai lapangan yang sesuai dengan fitrahnya.  Peranannya tidak hanya terbatas dalam domestik keluarga bahkan jika dia ada kepakaran dia boleh terjun dalam aktiviti social kemasyarakatan, ekonomi, politik dan pemerintahan, amar makruf dan nahi mungkar. Bukan untuk menyaingi lelaki tetapi memenuhi keperluan masyarakat.

Kesimpulan

Cantiknya Allah mengadun kehidupan ini dengan ramuan yang pelbagai.  Ada persamaan. Ada perbezaan. Ada yang disepakati. Ada yang dibenarkan berbeza. Siapa yang lebih berbaik sangka kepada Allah dan orang lain, dialah yang akan lebih bahagia. Insya-Allah.

sumber: Fatimah Syarha


Friday, June 22, 2012

Jangan Bersendirian!!!

Jangan biarkan dirimu bersendirian tanpa sibuk dengan kebaikan dan ketaqwaan.
Bahaya..

“Kenapa pulak?”


“Sebenarnya.. Kalau bersendirian, kita tidak keseorangan. Tetapi ditemani dengan banyak syaitan.”

Ya, memang benar. Kita sendiri tahu apa yang berlaku ketika bersendirian bukan?

Syaitan dan konco-konconya akan cari peluang untuk  jatuhkan kita. Macam-macam hasutan masuk dalam
fikiran kita. Macam-macam godaan akan datang. Kita diserang dari semua arah. Syaitan sudah beritahu pasal ni..

ثُمَّ لآتِيَنَّهُم مِّن بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَن شَمَآئِلِهِمْ وَلاَ تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ

 “Kemudian pasti aku (syaitan) akan mendatangi mereka (manusia) dari hadapan dan dari belakang mereka.
Juga dari kanan dan kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).”
[7:17]

Itu janji Syaitan La’natullah! Mereka akan menyelinap masuk ke dalam segenap penjuru kehidupan kita.

Perhatikanlah diri kita saat bersendirian. Apa yang kita fikirkan? Apa yang kita terbayang-bayangkan? Apa yang kita lakukan?

“alaa.. bukan ada orang tengokpun.. kau sendiri saja..
“tunggu apa lagi? Curi sajalah.. godam sajalah..”
“Tidurlah.. tidur lagi best.. nanti bagi alasanlah sikit.. lagipun tiada sesiapa yang nampak..”
“Kau tu penat.. relax-relaxlah dulu.. solat boleh buat kemudian.. ”
“balas dendam.. cepat rosakkan barang dia sebelum dia datang!”
“Sedap arak ni.. testlah sikit.. tiada orang sekarang ni..”

….Dan banyak lagi idea (untuk buat dosa) yang akan keluar dari kepala kita..

Ketika itu, dengan mudah iman akan turun, nafsu pula akan naik. Mengapa tidak, pujuk rayu syaitan sangat hebat. Sungguh indah dan mempesonakan. Apabila kena dengan selera, mata kita seakan-akan buta, telinga seolah-olah pekak, mulut pula tiba-tiba bisu. Akhirnya maksiat dilayan begitu sahaja.

Ketika diri sudah lena dibuai keseronokan nafsu, soal dosa tidak lagi dihiraukan. Betul bukan?

Ya.. Ketika itu kita tahu bahawa ‘Allah Maha melihat’, tetapi kita tidak peduli. Kita buat-buat tidak tahu.
Kita tahu bahawa malaikat yang ada disamping kita sedang mencatat amalan, tetapi kita buat-buat tidak perasan malah tidak mengendahkannya. Begitulah akibatnya apabila bersendirian tanpa iman yang mantap dan amal yang soleh. Diri kita boleh jadi binasa tanpa disedari. Iman menjadi semakin pudar seakan-akan lenyap.

Tahu apa respon daripada rasulullah berkenaan orang yang bermaksiat tatkala bersendirian?

Cuba kita hayati hadis ini;
“Aku benar-benar akan mengetahui sejumlah kaum dari umatku yang datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan seberat Gunung Tihamah yang putih, tetapi Allah menjadikannya debu yang dihamburkan”

Tsauban berkata:
“Wahai Rasulullah, gambarkanlah karakter mereka kepada kami, jelaskanlah keadaan mereka kepada kami, agar kami tidak termasuk dari kalangan mereka, sedangkan kami tidak mengetahuinya.”

Rasulullah SAW bersabda,
“Ketahuilah, mereka itu adalah saudara kalian, berasal dari darah daging kalian, bahkan mengerjakan ibadah pada waktu malam sebagaimana yang kalian kerjakan, tetapi mereka adalah kaum yang apabila bersendiri, mereka melanggar larangan Allah.” [Riwayat Ibnu Majah]


Tanyakan pada diri kita, mahukah diri kita rosak binasa di dunia dan rugi besar di akhirat? Pasti tidak! Tiada siapa yang mahu..

Maka marilah kita berusaha menjauhi maksiat ketika bersendirian mahupun ketika beramai-ramai. Jangan beri peluang kepada Syaitan. Sibukkanlah diri dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Andai hasutan dan godaan syaitan datang bertubi-tubi, cepat-cepat minta pertolongan daripada Allah!

Ungkapkan kalimah ini berkali-kali;
"Aku berlindung kepada Allah daripada Syaitan yang direjam!!"

Ulang berkali-kali.. Jangan ulang sekadar dibibir, tetapi biarlah dari hati yang betul-betul takut untuk berdosa. Cepat-cepat minta pertolongan Allah! Buang semua hasutan yang mendatang. Jauhi maksiat itu dengan sepenuh kekuatan. Jangan biarkan syaitan berjaya memujuk nafsu kita.

Ingat pesan Allah SWT;

وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللّهِ إِنَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
"Dan jika Syaitan datang menggodamu, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."


إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَواْ إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِّنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُواْ فَإِذَا هُم مُّبْصِرُونَ
"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka dibayang-bayangi dengan fikiran jahat (untuk berbuat dosa) dari syaitan, mereka segera ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya." [7:200-201] 

Disebabkan perintah Allah, Malaikat sungguh taat memerhatikan tindak-tanduk kita.Setiap perkara yang kita lakukan akan dicatat kesemuanya. Tidak ada yang tertinggal walaupun hanya sebesar zarah. Tetapi, siapa yang betul-betul menyedari kehadiran malaikat itu? Siapa yang betul-betul risau akan catatan amalan dirinya?



لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللّهِ
"Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di hadapan dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah..." [13:11]

Yang paling penting bukan malaikat sahaja yang memerhatikan kita, malah Allah sendiri juga akan melihat serta menyaksikan kehidupan kita. Allah tidak pernah mengantuk apatah lagi tertidur. Semua ciptaanNya berada di bawah pengawasan-Nya. Maka takutlah akan Allah walaupun kita tidak melihat-Nya.


إِنَّ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُم بِالْغَيْبِ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ
"Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya Yang tidak nampak oleh mereka, mereka akan memperoleh ampunan dan pahala yang besar." [67:12]

Sungguh jelas apa yang Allah khabarkan. Beruntung besar sesiapa yang takut akan Allah meskipun dia tidak melihat-Nya. Bukan setakat dapat pahala yang besar, bahkan dapat keampunan daripada Allah ‘Azza Wa Jalla. Alhamdulillah..

Tidakkah kita memerhatikan? Tidakkah hati kita menyedarinya?
Renung-renungkanlah wahai diri..