Islam is Universal, Islam for all!!!

"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agamaKu, nescaya Aku akan menolongmu serta meneguhkan kedudukanmu." Surah Muhammad:7

Thursday, September 23, 2010

Pengaruh 'Ladies First' dari Barat

Keimanan adalah asas kepada kejayaan menjalani ujian Allah di atas muka bumi ini. Hanya dengan keimanan seseorang dapat menentukan hala tuju kehidupannya di dunia dengan jelas. Jika dikaitkan dengan keimanan dengan isu wanita hari ini, maka sudah sepatutnya segala bentuk perbincangan tentang kaum wanita dilandaskan kepada asas keimanan dan atas konsep hidup sebagai ujian.
Inilah yang berlaku pada kaum wanita di zaman Rasulullah SAW apabila berasa dianak tirikan dalam mengaut sebanyak mungkin ganjaran pahala daripada Allah Taala. Mereka melihat kaum lelaki mendapat peluang yang terbuka luas untuk meraih ganjaran pahala yang menjamin kehidupan mereka di akhirat. Kaum lelaki dilihat dapat solat berjemaah di masjid yang diberikan ganjaran 27 kali ganda ganjaran berbanding dengan mereka yang solat seorang diri di rumah yang hanya mendapat satu ganjaran. Mereka melihat lelaki mendapat ‘tiket ekspress’ memasuki syurga apabila dianugerahkan syahid di medan jihad menentang orang kafir sedangkan mereka tidak mempunyai peluang berjihad. Memikirkan masa depan di akhirat, mereka telah menghantar utusan untuk bertanyakan hal tersebut kepada saidatina Aisyah isteri Rasulullah SAW. Apabila Rasullah SAW mendengar rungutan daripada kaum wanita ini, baginda mengungkapkan jawapan yang mengembirakan.
Baginda bersabda: “Apabila seorang isteri itu taat menunaikan sembahyang fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, taat dan menjaga maruah suaminya maka dia akan beroleh segala pahala yang diperolehi oleh suaminya.”
                Asas keimanan dan konsep hidup sebagai ujian ini jauh sekali wujud apabila perjuangan wanita Islam moden masa kini ditimbulkan hasil daripada tiupan angin perjuangan wanita di Barat. Wanita Barat tidak mengenal erti keimanan dan tidak pernah memahami hidup sebagai ujian.
                Maka, apabila isu dan perjuangan wanita Islam hari ini adalah hasil daripada tiupan isu dan perjuangan  wanita Barat, tetapi cuba diadaptasikan dan disarungkan dengan pakaian umat Islam, maka kadang-kadang ia mendatangkan kekaburan dan dilema kepada kaum wanita sendiri.
gambar hiasan

                Oleh itu wujudlah kaum wanita yang bangun untuk berjuang menuntut hak kesaksamaan dengan kaum lelaki didorong oleh sentimen persaingan, kebencian, buruk sangka, keagungan dunia dan kadang-kadang ditiup oleh sentimen permusuhan. Dalam kamus perjuangan mereka langsung tidak ada perkataan iman dan ujian. Perkiraan mereka hanya di dunia tanpa menjangkau kehidupan selepas mati. Matlamat mereka hanyalah kepuasan mendapat hak bukannya keredhaan Allah. Elemen keagamaan langsung tidak wujud dalam kamus perjuangan mereka kecuali beberapa fakta syariat yang boleh dipergunakan untuk mencapai cita-cita mereka.

Sunday, September 19, 2010

Nikmat Ketika Sakit


Penghapusan dosa-dosa lalu adalah ganjaran besar kepada mereka yang ditimpa penyakit.


“Beritakanlah khabar gembira, sesungguhnya Allah Azza wal Jalla pernah berfirman: “Penyakit itu adalah api-Ku yang Aku timpakan kepada hamba-Ku yang mukmin di dunia ini agar dia dapat selamat dari api neraka pada hari akhirat nanti.” (hadith riwayat Imam Ahmad)

Apabila seseorang itu ditimpa sesuatu penyakit, kesakitan yang menghinggapi tubuh badannya pasti akan menyebabkan dia merasa tidak selesa, lemah dan hilang selera makan. Kebebasan seseorang untuk melakukan aktiviti harian turut menjadi terbatas disebabkan sesetengah jenis peyakit.

Ditimpa penyakit merupakan salah satu bentuk ujian daripada Allah SWT kepada hamba-hambaNya agar dapat dikenalpasti siapakah dikalangan hamba-hambaNya yang sabar di saat ditimpa musibah. Sebagai mukmin yang sejati, seseorang itu tidak hanya merasa gembira dan bersyukur kepada Allah ketika dikurniakan kesenangan dalam kehidupannya, tetapi dia juga perlu redha dan bersabar saat ditimpa apa jua musibah termasuk ketika jatuh sakit.

Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh aneh bagi seseorang mukmin itu, seluruh keadaan yang menimpa dirinya dianggap sebagai sesuatu kebaikan bagi dirinya. Keadaan seperti ini tidak akan ditemui pada sesiapapun kecuali seorang yang beriman. Jika dia mendapat kesenangan lalu dia bersyukur, maka perkara itu mendatangkan kebaikan bagi dirinya. Jika dia mendapat kesusahan lalu dia bersabar maka perkara itu akan mendatangkan sebuah kebaikan untuk dirinya”. (Hadith riwayat Imam Muslim)

Justeru sifat sabar ketika ditimpa apa jua jenis penyakit merupakan di antara cirri-ciri golongan yang beriman. Kesabaran tersebut akan mendatangkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT kepada hambaNya yang taat dalam apa jua keadaan hidupnya.

Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang muslim ditimpa sakit melainkan dengannya Allah akan menggugurkan kesalahan-kesalahannya sebagaimana daun pohon yang berguguran”. (Hadith riwayat Imam Al-Bukhari)

Bagi mereka yang bersabar ketika ditimpa musibah atau sakit nescaya ia akan dicatat sebagai suatu amalan mulia yang berhak mendapat pahala dan darjatnya di sisi Allah.

Rasulullah bersabda: “Tidaklah seorang mukmin yang terkena sesuatu penyakit meskipun hanya pada uratnya sahaja, melainkan Allah akan menghapuskan dosa-dosanya dengan penyakit tersebut, akan dicatatkan baginya suatu kebaikan dan diangkat darjatnya.” (Hadith riwayat Imam Tabrani)

                Dengan penghapusan dosa-dosa serta ganjaran pahala bagi mereka yang redha dengan ujian Allah, maka tentu sekali sifat sabar ketika ditimpa penyakit ini merupakan salah satu faktor yang dapat memudahkan seseorang itu memasuki syurga di akhirat kelak dan menjauhkan seseorang itu dari tercampak ke neraka jahanam.

Allah SWT berfirman: “Dan kami berikan ujian kepada mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk agar mereka kembali (kepada kebenaran).” Surah Al-A’raf:168

Begitulah kasih sayang Allah yang tidak mahu hambaNya terus dalam kelalaian.