Islam is Universal, Islam for all!!!

"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agamaKu, nescaya Aku akan menolongmu serta meneguhkan kedudukanmu." Surah Muhammad:7

Monday, April 29, 2013

Dean List menuju Deen List


Erti Kejayaan bagi Kamu???
Kak Sarah: “Akak mau tanya kamu semua… Selain cita-cita, apa impian yang paling besar hendak kamu capai dalam hidup yang sementara di dunia ni?” Soalan yang sering aku lontarkan kepada adik-adik usrah baharu ketika sesi taaruf, selain ingin memecahkan tembok kekekokkan bersama adik-adik usrah tersebut.

Adik-adik usrah:

“Saya ingin berjaya dalam hidup dan membalas budi kedua ibu bapa saya”
“Saya mahu jadi anak solehah yang dapat mendoakan ibu bapa saya dan seorang yang berjaya di dunia, Kak doakan saya ya..”
“Saya ingin menjadi seorang doktor yang berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat”
Ada yang menjawab dengan penuh semangat, ada juga yang menjawab dengan perasaan yang kurang yakin. Namun, jawapan yang mereka berikan hampir sama semuanya. Berjaya dalam hidup!

Antara persamaan seorang manusia dengan manusia yang lain ialah mengimpikan sebuah kejayaan dalam hidup masing-masing. Bagi mereka yang mempunyai akal fikiran yang waras, sudah pasti menginginkan kejayaan dalam hidupnya. Namun, beza antara mereka semua ini ialah bagaimana mereka mentafsir atau meng’erti’kan sesuatu kejayaan kepada diri sendiri.

Peng’erti’an yang berbeza inilah, takrif 'kejayaan' dalam kehidupan kita adalah sangat subjektif. Kejayaan aku, mungkin bukan kejayaan bagi engkau, dan kejayaan engkau mungkin bukan kejayaan bagi aku.

Menggapai Dean List
Bermula jejaknya kaki di alam universiti, jiwa-jiwa penuntut asasi, ijazah mahupun master sudah memacakkan impian mereka supaya berjaya tersenarai dalam Dean list. Betul tidak? Dean list atau cemerlang adalah suatu kejayaan dalam hidup mereka. Aku juga tidak terkecuali di antara mereka yang punya impian setinggi itu. Tambah mengembirakan apabila berada di antara ratusan nama mahasiswa –mahasiswa yang lain, nama kita berada di antara kedudukan yang tertinggi. Kepuasan yang tidak terhingga sebagai seorang pelajar cukup terasa.


Lantas, aku selalu berpesan kepada diri sendiri sebagai penuntut ijazah:

“Wahai Allah, aku ingin berjaya dalam akademikku. Wahai Allah, bantulah aku dan berikanlah aku kejayaan demi kejayaan di dunia dan di akhiratMu.”
Ya, keinginan yang membuak-buak untuk mencapai kejayaan itulah yang mendorong aku, dia dan mereka memberikan sepenuh perhatian di dalam dewan kuliah, bersengkang mata ditengah malam menyiapkan assignment dan ulangkaji, hadir tutorial class, naik turun tangga berjumpa dengan lecturer bertanyakan soalan yang sukar difahami. Sehinggakan kadang-kadang waktu makan sekalipun terabai gara-gara terlalu sibuk dengan buku. MasyaAllah!!!

Deen List :
Di manakah letaknya Allah dihati kita?
Namun, disebabkan kesibukan menggapai dean list, ke mana hilangnya fokus di dalam solat, tatkala tumpuan yang penuh boleh saja diberikan di dalam dewan kuliah? Mengapa diri begitu lemah untuk sujud menghadap Allah, sedangkan cukup bertenaga hadir ke kuliah, cukup kuat untuk berjumpa lecturer bertanyakan soalan yang kurang difahami? Kita sanggup korbankan masa tidur dan makan, tetapi mengapa masa untuk bersama dengan Allah turut sama terkorban?

Mengapa?

Kerana hubungan antara kita dengan DIA terlalu rapuh. Kita asyik pesan pada diri,”Aku nak berjaya, aku ingin cemerlang” tapi kita lupa akan DIA yang memberi kejayaan.
Mulai saat ini, sentiasa pesan pada diri, bukan “Aku nak berjaya”, tapi: “Letak Allah sebagai Pemberi Kejayaan yang utama dihati, pasti Allah beri kejayaan yang tidak disangka-sangka kepada kita”.

Menuju Deen List
Dengan hadirnya Allah dalam setiap perbuatan dan perlakuan, dari situlah akan wujudnya kekuatan. Sama ada kekuatan untuk mencari ilmu, memantapkan ilmu pengetahuan, mahupun memantapkan keimanan kepada Tuhan. Ingat wahai diri, kita berjaya kerana Allah.

Wahai Allah, kurniakan kami kejayaan di dunia dan kejayaan di akhiratMu. Ayuh! Manifestasikan doa ini seiring dengan amalan, bukan sekadar doa hafalan spontan tau.

رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَة ً وَفِي الأخِرَةِ حَسَنَة ًوَقِنَا عَذَابَ النَّار
Ya Allah, kurniakan kami kejayaan di dunia dan jua kejayaan di hari akhirat.Dan jauhkanlah kami dari azab api neraka.”



No comments:

Post a Comment