Islam is Universal, Islam for all!!!

"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agamaKu, nescaya Aku akan menolongmu serta meneguhkan kedudukanmu." Surah Muhammad:7

Friday, June 28, 2013

Orang Hebat Orang Luar Biasa

Pilihan ditangan sendiri
"Awak tak nak cari pengalaman bekerja ke time cuti semester ni?"
"Taklah kot, saya nak jadi suri rumah je kat rumah sepanjang cuti ni, bantu-bantu ibu apa yang patut."

"You buat apa time cuti ni?"
"I tak buat apa-apa, I banyak tidur. Nak balas dendam sebab di kampus dulu asyik-asyik tak cukup tidur. Terpaksa stay up hingga ke subuh study dan buat assignment"

"Kau buat apa masa cuti semester yang panjang ni?"
"Macam biasalah, kerja. Mau cari duit lebih sikit untuk semester depan."

"Apa plan enti untuk cuti semester kita ni?"
"Ana mau manfaatkan masa cuti kita ni dengan join program-program Islamik. Rasa kosong plak jiwa ni kalau duduk lama-lama di rumah jak. Lain lah kalau di kampus, tiap hari ada jak pengisian antara maghrib isyak di surau Nur E-man.”

“Ana nak masuk pondok. Jom talaqqi kitab lama bersama-sama, nanti takde masa kalau dah masuk semester baru.”

Bermacam-macam respon yang aku terima daripada rakan-rakan dan sahabat-sahabat sekampus. Musim cuti semester beginilah timbulnya sikap bermalas-malasan. Malas bangun awal, malas melakukan aktiviti rutin melainkan hobi. Apabila sikap malas itu dimanjakan, semakin menjadilah ia sehingga ibadah fardhu pun dikerjakan dihujung waktu. Naudzubillah... Ironinya, kita sendiri mampu berfikir mana yang lebih banyak mendatangkan manfaat buat diri. Jom renung-renung, fikir-fikir...


Bagi orang yang biasa-biasa "Biarlah, inilah masanya aku berehat dari berhempas pulas di kampus dulu. Biarlah aku rehat sepuas-puasnya." Bagi orang yang berfikiran luar biasa pula “Inilah masanya aku menyumbangkan tenaga kepada keluarga dan masyarakat. Kalau bukan saat ini, bila lagi?”

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah..."

Bezanya amat ketara di mana orang biasa-biasa hanya berfikir dan melakukan perkara yang biasa, sebaliknya bagi orang yang luar biasa.

Belajar menjadi Orang Hebat
Terkenang pengalaman lalu bilamana seorang senior yang sudah memahat kejayaan di atas pentas ijazah memanggil kami untuk meng’handle’ slot muhasabah atau ‘malam penghayatan’ di sebuah IPTA tempatan dalam satu program khas kampus tersebut. Terasa diri masih terlalu mentah dalam hal-hal sebegini. Aku langsung bertanyakan hal ini dengan seorang sahabat yang boleh dikira mahir dalam bab-bab ‘penghayatan’. Dia juga sependapat aku. Timbul perasaan tidak yakin di benak.

“Akhi, ana kurang yakinlah. Lagipun peserta-peserta program sebaya kami malah ada yang lebih tua dari kami”

“Abang yakin dengan kamu. Kamu kan biasa handle penghayatan dengan budak-budak.”

“Tapi kami tidak sehebat akhi. Pengalaman pun baru setahun jagung”

“Sama sahaja. Kita ini memang bukan orang yang hebat, tapi tidak salah kita belajar untuk jadi hebat seperti mereka yang hebat.”

Aku mula berfikir, jika tawaran ini ditolak, aku pasti tidak dapat mencedok pengalaman ini di lain hari walaupun masih punya tawaran lain. Akhirnya, Allah mentakdirkan aku bersama tiga orang sahabatku datang ke program tersebut dan menjalankan tugas yang diamanahkan. Alhamdulillah…Satu pengalaman besar yang boleh diaplikasikan dalam program-program mendatang. Tanpa ada rasa rugi mahupun menyesal.

Begitulah juga keadaannya bagi seseorang yang bergelar mahasiswa. Tidak dinafikan terlalu banyak pengalaman ketika menuntut di kampus. Bergiat dalam aktiviti yang membangunkan rohani dan jasmani, memperkasakan kemahiran insaniah, disamping belajar cara berdiplomasi. Belajar daripada pengalaman orang lain. Belajar berpartisipasi dalam pelbagai bidang ilmu, belajar mengurus program mega. Belajar untuk lebih cakna isu semasa serta menganalisis isu.

Maka, ayuh rakan dan sahabat.. Pasakkan impian untuk mahu menjadi hebat seperti mereka yang hebat, agar dapat melahirkan generasi yang hebat.


Negara inginkan aset yang berkualiti
Terlalu banyak pilihan demi pilihan yang perlu dipertimbangkan dalam mencapai tujuan penghidupan di muka bumi ini. Setiap pilihan pasti punya liku-liku cabaran dan halangan tersendiri yang sangat menguji jiwa. Mahu menjadi yang biasa atau yang luar biasa? Pilihan ditangan sendiri. Perlu diketahui, aset negara yang berkualiti itu hidupnya bukan sekadar untuk diri sendiri. Terlalu banyak komitmen yang perlu dilaksanakan dan diselaraskan. Mahu atau tidak, aku perlu belajar untuk menjadi lebih kuat walau seringkali tersungkur terjatuh ditengah-tengah jalan pilihan, walau merasa terhimpit di antara harapan dan cita-cita.

Rasulullah SAW bersabda:
خير الناس أنفعهم للناس
Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain 
(HR. Ahmad, Thabrani, Daruqutni)

Ingat wahai diri!!!Negara kita ini inginkan suatu aset yang berkualiti tinggi dengan kuantiti yang ramai. Bagaimana hendak merealisasikannya??? Jom kembali kepada fitrah, ianya bermula dari sekeping hati seseorang individu. Kerana hati adalah raja kerajaan diri.

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. رضي الله عنهما beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Ketahuilah kamu di dalam badan manusia terdapat segumpal darah. Apabila baik maka baiklah keseluruhan segala perbuatannya dan apabila buruk maka buruklah keseluruhan tingkah lakunya. Ketahuilah kamu bahawa ia adalah hati"
(HR al-lmam al-Bukhari dan Muslim)

Jagalah keimanan kepada Sang Pencipta disamping bergaul dengan orang-orang soleh agar terhindar dari rayuan nikmatnya duniawi, sehingga terleka dari tanggungjawab asal tujuan penciptaan dan tujuan hidup di muka bumi.

            Apabila keluar dari alam kampus, maka siapakah aku pada matakaca masyarakat? Aku tidak mahu digelar ‘siswazah lesu’. Selesai mendapatkan segulung ijazah, hanya menjadi penganggur terhormat dan menunggu tawaran kerja tanpa menyumbang apa-apa kepada masyarakat. Maka akan timbul persoalan nanti, apa bezanya aku dengan mereka???

Jom jadi Hebat dan Luar Biasa
Pesan seorang kakak, "Ramai orang yang memilih jalan hidup seperti ini. Mahu senang, menjadi orang yang biasa-biasa saja di muka bumi. Rugilah hikmah yang terbentang di dalam warna Islam jika satu pun tidak digarap dan diambil madunya. Orang-orang yang dijanji syurga hidupnya bukan yang biasa-biasa. Syurga itu sesuatu yang luar biasa, hanya mereka yang luar biasa mendapat tempat di taman-taman yang luar biasa. Jalan hidup Rasul dan para sahabat itu yang perlu dihayati. Dari cara hidup yang biasa-biasa, berubah kepada luar biasa dengan izin Allah." Malanglah, jika aku tidak mengambil ibrah dari sirah-sirah itu. Peluang untuk berubah itu ada banyak kali, sungguhpun hidup ini hanya sekali.

Jom kawan dan sahabat, manfaatkan musim cuti ini dengan menabur bakti kepada keluarga dan masyarakat. Jangan jemu menggali sebanyak mungkin ilmu Allah yang masih terbentang luas dan turun kepada masyarakat menyebarkan kebaikan sambil berkongsi ilmu. Semoga ianya bermanfaat kepada masyarakat dan buat diri sendiri disamping menambah isi tabung iman kita. Hidup kita ini indah, rugilah kita jika disia-siakan, kerana sedetik pun kita berada di dunia, itu adalah kehidupan.



No comments:

Post a Comment